Followers

Tuesday, April 12, 2016

Reborn! - Prolog I


Allah itu Maha Besar. Ya, sesungguhnya Allah itu Maha Besar. DIA Maha Mengetahui Segala Sesuatu. Demi Allah. Tak pernah sekali pun dia bermimpi, dia akan berpijak ke bumi Mekah. Tak pernah sekali pun dia bermimpi, dia akan tunduk dan sujud di depan baitullah. Dia makhluk-Nya yang berdosa. Dengan segala macam benda yang dia baca selama ini di dada akhbar; di dalam Mastika, mana mungkin dia berani untuk memijakkan kakinya ke tanah haram. Dia takut, setiap dosanya dibayar tunai di sini. Tapi sesungguhnya, Allah itu lebih mengetahui segala sesuatu. Dia barangkali tak simpan sebarang impian. Tapi Allah menjemput dan menggerakkan hatinya untuk menunaikan umrah. Sesuatu yang tak pernah dia rancang! Dan seperti semalam dan hari-hari sebelumnya, dia masih lagi duduk di depan kaabah. Dia masih lagi menangis dengan bersungguh-sungguh. Dia masih lagi memohon keampunan di atas dosa-dosanya. Ya Allah, aku hamba-Mu yang berdosa. Apakah masih ada keampunan-Mu buatku? Ya Allah... Akulah hamba-Mu yang hina. Apakah masih ada kasih sayang-Mu buatku? Ya Allah.. Aku berdosa Ya Allah. Aku berpaling dari perintah-Mu. Aku melanggar larangan-Mu Ya Allah. Aku berdosa. Mengingati dosa-dosa semalam, air matanya mengalir laju. Apakah masih ada tempat untuknya di sisi Allah? Apakah masih ada peluang untuk dia berubah. "Berdoalah sungguh-sungguh. Allah tu Maha Mendengar. Jangan ragu-ragu dengan Allah. Yakinlah dengan DIA." Dan kata-kata itu kembali bermain di telinganya. Semalam, usai tawaf; dia mengambil tempat di satu sudut berhampiran multazam untuk menunaikan solat sunat taubat. Dia mahu memohon ampun atas kesilapannya. Atas dosanya! Dan ketika itulah, Allah hadirkan seorang perempuan yang entah dari mana datangnya yang menuturkan kata-kata itu. "Allah tahu apa dalam hati kita, walau kita tak katakan pada sesiapa." "Kalau berdosa - mohonlah kemaafan dari DIA. Sesungguhnya sifat pemurah dan penyayang Allah itu lebih besar dari sifat kemurkaan-Nya." Dan air matanya jatuh lagi. "Ya Allah, apakah kau hadirkan wanita semalam itu; sebagai peringatan padau - bahawa aku punya ruang untuk berubah dan kembali ke jalan-Mu?" Ya Allah... Aku mahu berubah. Aku mahu dilahirkan semula dalam keadaan yang suci. Aku mahu menjadi sebahagian dari penghuni syurga-Mu. Ya Allah... Aku berdosa Ya Allah. Tapi aku mahu berubah Ya Allah. Ampunkan aku... Dan sekali lagi, air matanya jatuh. Makin lama makin lebat. Bahunya makin lama, semakin berhinggut laju. Doanya diluahkan dengan penuh sungguh-sungguh. Ya dia mahu berubah. Dia mahu jadi orang baharu. Reborn! Ya, dia mahu dilahirkan semula sebagai dia yang baharu.

No comments: